한국   대만   중국   일본 
Kesenian Nobat - Sejarah kadatangan nobat ke Tanah Melayu
The Wayback Machine - https://web.archive.org/web/20070313191545/http://www.nobat.hostrocket.com:80/datang.html

  Muka Hadapan
  Pengenalan
  Sejarah Nobat
  Pemain & Perjawatan
  Pantang Larang
  Instrument Nobat
  Galeri Foto
  Penghargaan
  Komen Pelawat
  Site Map


SEJARAH KEDATANGAN NOBAT KE TANAH MELAYU

Terdapat banyak pendapat apabila memperkatakan mengenai asal usul dan titik mula kewujudan Nobat di negeri Kedah. Namun masih belum ditemui lagi asal usul yang tepat. Ahli-ahli sejarah masing-masing mempunyai pendapat sendiri dalam pertikaian asal-usul Nobat ini. Tidak kurang juga yang menerapkan unsur dongeng di dalam pendapat mereka. Di dalam kajian ini, terdapat beberapa pendapat yang berbeza mengenai asal kewujudan Nobat.

Di dalam buku Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah yang menceritakan salasilah raja-raja negeri Kedah, hasil tulisan pengarang terkenal Encik Hassan, ada menyentuh mengenai asal-usul Nobat ini. Di dalam buku tersebut dinyatakan bahawa kononnya Nobat dibawa oleh maharaja Derba Raja yang berasal dari India. Baginda dikatakan orang pertama yang memperkenalkan Nobat dan menjadikannya lambang kebesaran raja-raja. Semasa baginda memerintah Kedah, datang seorang pendeta dari negeri arab bernama Tuan Syeikh Abdullah bin Tuan Syeikh Ahmad. Beliau merantau dari Yaman dan tiba di Kedah pada sekitar tahun 531 H. Beliau telah menyebarkan agama Islam kepada Paduka Maharaja Derba Raja. Penyebaran agama beliau telah berjaya membawa raja dan seluruh rakyat baginda memeluk agama Islam. Nama asal negeri Kedah pula ditukar daripada Qalha kepada Kedah. Syeikh Abdullah juga turut mencadangkan supaya Nobat dimainkan setiap tiba waktu Maghrib, Subuh, dan Isyak, serta hari Jumaat. Sejak itu, Nobat dimainkan pada waktu tersebut sehingga kini. 

Beralih pula kepada pendapat Kalur Besar Nobat Kedah yang pernah bertugas di era pemerintahan sultan Abdul Hamid Shah, iaitu Encik Hanafi. Menurut catatan allahyarham yang disimpan oleh Tuan Syed Idrus iaitu bekas Penolong Setiausaha Kerajaan Kedah, menjelaskan bahawa Nobat telah dipinjam daripada kebudayaan Hindu.

Ia kekal sebagai adat DiRaja dan kekal hingga kini. Nobat juga dihormati dan dimuliakan serta dipatuhi pantang larangnya oleh keturunan Kesultanan Kedah. Dikatakan juga kononnya Nobat telah bertapak sejak zaman Nabi Allah Ibrahim Alaihissalam. Disebabkan alasan ini maka ia wajar dihormati, dimuliakan dan dianggap keramat oleh rakyat.

Pendapat ketiga pula dinyatakan oleh Encik Daud Shaari yang juga merupakan bekas Kalur Besar Nobat Kedah. Beliau menceritakan bahawa pernah berlaku kejadian dimana terdapat dua orang putera raja yang telah datang ke Tanah Melayu dengan tujuan untuk menemui saudara mereka. Kejadian ini berlaku kira-kira 800 tahun lalu ketika Kedah kononya diperintah oleh sultan berketurunan Jawa iaitu Ataniah Shah I. Pelayaran mereka berhenti di Kula Sungai Muda berhampiran dengan kaki Gunung Jerai. Tiba-tiba terdengar suara dari serumpun buluh yang meminta mereka mengambilnya untuk dijadikan semambu. Sebagai balasan, semambu tersebut akan menunjukkan jalan untuk bertemu saudara mereka. Kedua Putera itu bersetuju menjadikan buluh tersebut sebagai semambu dan dengan takdir Allah, mereka telah bertemu saudara mereka di Tambak Johor. Namun tidak lama selepas itu salah seorang Putera itu telah mangkat. Oleh kerana terlalu sedih, mereka telah mencipta satu alat yang mengeluarkan bunyi yang sayu. Dikatakan, itulah asalnya Nobat tercipta.

Sumber lain yang menceritakan mengenai sejarah Nobat ialah keterangan daripada sejarah Melayu. Mengikut keteangan yang dimuatkan di dalam majalah ? Malaya In History ?, keluaran Julai 1962, menyimpulkan bahawa Nobat Kedah dan Perak telah mula diketahui sejak lebih kurang empat kurun yang lalu. Di dalam sejarah Melayu 1658 juga diceritakan bahawa negeri Melaka ketika di bawah pemerintahan Sultan Muhammad Shah 1435 juga telah menggunakan Nobat. Mengikut sejarah Melayu lagi, Nobat diperkenalkan oleh permaisuri Bentan. Baginda mengurniakan Nobat kepada raja yang mula-mula sekali membuka Singapura dan Temasik iaitu raja yang bergelar Sri Tri Buana. Sejak itu Nobat mula dimainkan. 

Berbeza pula dengan pendapat yang dikemukakan oleh Syed Idrus Al-Idrus yang merupakan bekas Penolong Setiausaha Kerajan Kedah. Mengikut catatan beliau, mengemukakan bahawa ketika Sultan Abdullah Muazzam Shah yang memerintah Kedah mangkat pada 1118, pewaris takhta baginda Putera Tengku Muhammad Jiwa tidak berada di Kedah kerana merantau mengikut seorang syeikh dan membantu syeikh tersebut menguruskan perniagaan serta mengkaji perkembangan dan kemajuan negeri lain. Oleh itu, Tengku Bendahara iaitu Tengku Ahmad Tajuddin telah dilantik menjadi Sultan. Dikatakan, semasa merantau inilah baginda telah bertemu dengan pemainan Nobat di India yang merupakan alat kebesaran Raja Hindustan, kemudian membawanya pulang ke Kedah dan memperkenalkannya di Kedah.

Walau bagaimananapun, rata-rata orang perseorangan yang ditemui, menolak perkaitan antara cerita dongeng rakyat dengan asal-usul Nobat. Ini kerana menurut mereka, cerita dongeng tidak mempunyai fakta sejarah logik yang mampu membuktikannya. Hasil dari kajian ini, didapati kemungkinan bahawa seni muzik Nobat ini dibawa oleh pedagang atau penyebar agama Islam adalah lebih tinggi berikutan fakta seperti berikut :

  • Pada zaman dahulu terdapat pedagang Arab yang datang ke rantau ini dan turut meninggalkan pengaruh kebudayaan mereka. 
  • Puak Arab yang datang ada yang berketurunan raja. Apabila mereka singgah berdagang di India, mereka telah membawa sejenis alat bunyian yang disebut sebagai Naubat di India.
  • Not-not lagu Nobat yang dipanggil ? dai ? ditulis dalam tulisan Jawi.
  • Waktu Nobat dimainkan adalah pada waktu solat seperti Maghrib, Isyak, Subuh serta hari Jumaat.


[ Sejarah kedatangan Nobat ke Tanah Melayu | Sejarah nama Nobat ]
[ Sejarah pembinaan Balai Nobat ]

 

Disediakan oleh : Siti Shukriyah binti Hamid. Universiti Malaysia Sarawak. 2004.

 


Free Hosting Provide By: HostRocket Web Hosting Service
Make $50 Per Sale: ViaTalk VoIP Affiliate Program
ViaTalk: Internet Phone Service
VT_White: VoIP Reseller Service